Pelbagai Maklumat Di Kongsi

Permudah urusan sesudah ajal

 On Rabu, 9 April 2014  



Geram mendengar jawapan ini.
“Tahu tak kita perlu buat penama dalam KWSP?” 
“Tahu…” 

“Sudah buat?”
“Biarlah.”

“Kenapa tak mahu buat?’ 

“Malaslah. Biarlah mereka susah sikit nak dapat duit aku! Aku pun dah mati masa itu, bukan!” 

Mungkin ada kalangan kita pernah mendengar dialog seperti di atas. Pemikiran yang membiarkan orang bersusah payah mendapatkan duit kita kerana kita sudah mati, tidak wajar dibiarkan berleluasa di dalam diri. 

Anda bukan hanya bersifat pentingkan diri ketika hidup tetapi sudah merancang meneruskannya walaupun sesudah mati. 


Wang tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah simpanan kita menghadapi hari tua tetapi sekiranya kita tidak sempat menggunakannya apabila ajal menjemput terlebih dulu, apa salahnya menjadikan ia kegunaan menyara keluarga yang ditinggalkan. Tidakkah itu perkara terbaik yang boleh kita lakukan? 

Wang KWSP kita itu boleh digunakan bagi menampung keperluan waris atau orang terdekat yang layak seperti anak-anak dan ibu bapa kita. Justeru, mengapa kita berasa seperti ‘tidak ikhlas’ pula? 

Ayat ini pula mungkin klise bagi kita semua. ‘Mati berlaku tanpa kita ketahui tarikhnya dan ia mungkin berlaku esok!’ 

Semua orang pun akan mengurut dada seketika kerana takut pada kematian. Mulalah menanam azam serta-merta seperti mahu meningkatkan amal ibadat, mahu menabung untuk saham akhirat, mahu melangsaikan hutang-piutang, mahu cepat-cepat ke Makkah dan pelbagai azam lagi. 

Mereka sepatutnya menambah satu perkara iaitu membuat penamaan di KWSP. 

Kemudian ada pula yang berpendapat, dengan tidak membuat penamaan, duit itu kelak lebih adil dibahagikan. Pembahagian yang perlu dilakukan memang adil kerana ia membabitkan hukum faraid tetapi bagaimana mahu diagihkan dengan adil sekiranya ia tidak boleh dikeluarkan dan mengalami masalah berbangkit yang rumit hanya kerana tiada penama? 

Merujuk siaran akhbar KWSP pada November 2013, kajian pihak KWSP mendapati majoriti ahli tahu mengenai kepentingan membuat penamaan tetapi tetap tidak mahu melakukannya. 

Sukarkah membuat penamaan? Ia proses yang mudah saja. Borang penamaan yang diisi lengkap oleh ahli perlu dihantar ahli sendiri ke cawangan KWSP tanpa melalui pihak ketiga. Jika borang penamaan diisi lengkap yang disertai cap jari ahli (dakwat hitam) dan tandatangan saksi di atas borang itu, ahli tidak perlu membawa saksi bersama. 

Hanya beberapa minit diperlukan untuk melengkapkan borang penamaan KWSP 4. 
Dengan membuat penamaan, simpanan ahli akan dibayar kepada waris dengan mudah. Bagi ahli beragama Islam, penama akan bertindak sebagai pentadbir ­­(wasi) yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan si mati mengikut hukum faraid. 

Kes yang terjadi lantaran tiada penama yang diletakkan sebagai wasi selepas sesuatu kematian mungkin sudah biasa kita dengar. Seorang balu hidup dalam kesusahan walaupun suaminya meninggalkan wang KWSP yang agak banyak. Anak-anak yatim yang masih kecil mengalami kesusahan untuk menampung pelajaran mereka dan si balu perlu ke sana ke mari meminta pertolongan kerana masalah kewangan yang mendesak. 

Keadaan yang tidak sepatutnya berlaku sekiranya penama tidak dibuat atas nama waris yang layak dan dipercayai. Paling kasihan kepada anak-anak si mati kerana sudahlah mereka bersedih kerana kehilangan ibu atau bapa, perlu melalui kesusahan pula. 

Ada ahli keluarga terpaksa dibebani dengan hutang-piutang yang ditinggalkan si mati. Mereka perlu membayar hutang dan terpaksa hidup dalam tekanan sepanjang masa. Sebenarnya sekiranya wang KWSP si mati boleh dikeluarkan, ia boleh digunakan bagi menyelesaikan hutang itu. 

Wang KWSP si mati perlu diagihkan secara faraid, jadi antara yang layak mendapat bahagian ialah ibu bapa si mati. Adakalanya ibu bapa si mati yang sudah tua dan uzur sangat memerlukan wang bagi pembiayaan kesihatan tetapi keadaan itu menyukarkan kerana tiada penama. Apabila penama tiada, pengeluaran akan mengambil masa yang lama. 

Pihak KWSP juga mengingatkan ahlinya supaya membuat penamaan ketika berada dalam kesihatan yang baik dan waras. Ini bagi mengelakkan sebarang cubaan oleh individu yang tidak jujur sekiranya ahli sedang sakit fizikal atau mental. 

Ahli juga mestilah peka untuk mengemas kini penamaan mereka apabila terdapat perubahan di dalam hidup mereka seperti perkahwinan, perceraian, kelahiran anak dan mungkin juga kematian penama itu sendiri. 

Sekiranya penama yang anda lantik sudah meninggal dunia, segeralah mengemas kini dengan penama yang baru. Perlu diingat wasiat tidak membatalkan penamaan. 
Tanpa penama, proses pengeluaran simpanan akan menjadi rumit dan membebankan waris. Waris perlu melalui proses yang panjang dan sukar bagi menuntut wang ahli itu. Mengapa kita harus membiarkan perkara itu berlaku dan menyusahkan waris kita? 

Sekiranya tiada penama, waris perlu mendapatkan dokumen seperti Surat Kuasa Tadbir, Surat Probet, Surat Perintah Pembahagian atau Sijil Faraid supaya wang KWSP si mati dapat dikeluarkan. 

Proses bagi memperoleh dokumen di atas adalah sukar. Ia juga memakan masa yang lama serta berkemungkinan dikenakan bayaran oleh pihak yang menjalankan urusan itu. Bagi pihak yang tiada wang, bagaimana mereka hendak menyelesaikan masalah itu? 

Pihak KWSP nampaknya giat memainkan peranan memberi peringatan demi kepentingan ahli dengan kempen kesedaran termasuk di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. 

Untuk maklumat mengenai penamaan, anda boleh melihat melayari http://www.kwsp.gov.my/portal/members/member-responsibility/registration/nomination. 

Mereka yang mendengar dan membaca mengenai peringatan membuat penamaan ini perlu segera membuat pilihan bijak. Membiarkan ia berlalu begitu saja atau melakukan perubahan demi kepentingan insan tersayang kita. 

Bagi ahli beragama Islam, penama atau wasi yang dilantik bukanlah penerima mutlak wang KWSP si mati. Ia harus dibahagikan secara faraid. Pasti ada ahli yang meletakkan nama ibu atau bapa sebagai penama dan kemudian lupa menukarnya setelah berkahwin. Dia kemudiannya mati secara mengejut.

Perlu diingat, ibu dan bapa si mati tetap perlu membahagikan wang KWSP itu kepada yang hak. Jangan kerana anak meletakkan nama ibu bapa sebagai penamanya, ibu bapa pula melupakan hak menantu dan cucu-cucunya! 

Perkara ini sebenarnya tidak sepatutnya menjadi pertikaian kerana di dalam borang penamaan sudah siap diberitahu bahawa penama hanyalah wasi. 

Sehingga September 2013, KWSP mempunyai seramai 13.81 juta ahli. Bilangan ahli aktif yang masih mencarum adalah seramai 6.46 juta. Bilangan yang membuat penamaan pula ialah 3.57 juta. 

Semoga statistik pada 2014 menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan kerana sudah tiba masanya masyarakat sedar betapa pentingnya kita membuat penamaan secepat mungkin untuk wang simpanan KWSP. 

Borang KWSP 4 boleh diperoleh daripada cawangan KWSP terdekat atau dimuat turun daripada laman web www.kwsp.gov.my atau boleh juga menghubungi pusat panggilan di 03-89226000.
Permudah urusan sesudah ajal 4.5 5 Unknown Rabu, 9 April 2014 Geram mendengar jawapan ini. “Tahu tak kita perlu buat penama dalam KWSP?”  “Tahu…”  “Sudah buat?” “Biarlah.” “Kenapa tak mahu ...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sponser

Dikuasakan oleh Blogger.